Bersih 2.0: Polis selak baju sebelum tangkap
Nazri Abdullah
BATU GAJAH, 2 Julai: Tiga anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditangkap pihak polis ketika sedang minum di Pasar Awam Batu Gajah di sini pagi tadi.
Mereka adalah Timbalan Ketua Cabang Batu Gajah, Adnan Talib, Naib Ketua Anthony Vijaya dan Timbalan AMK, Tamiselvam.
Difahamkan mereka tidak pun memakai baju kuning Bersih 2.0 ketika itu dan baru sahaja tiba di sebuah kedai minum di sini sebelum didatangi beberapa orang pihak polis.
Tiba-tiba salah seorang anggota polis itu bertindak menyelak baju yang dipakai salah seorang daripada mereka dan menampakkan baju kuning bertulis Bersih 2.0 yang dipakai di bahagian dalam terus ditangkap.
Ekoran itu, dua rakannya yang lain turut menyarung baju serupa agar mereka juag ditangkap bersama.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Batu Gajah kira-kira jam 10 pagi untuk dirakam keterangan.
Turut serta ke IPD bersama ketiga-tiga mereka adalah Adun Tronoh S.Sivakumar dan peguam Ng Mun Yin.
Sivakumar ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan, polis bertindak keterlaluan dan tidak menghormati rakyat.
"Mereka pakai T-shirt Bersih di dalam, di luar baju lain, polis pergi buka baju mereka, apa kuasa polis buka baju orang cek dalam pakai baju apa?" soalnya tidak berpuas hati.
Beliau juga dimaklumkan ketiga-tiga yang ditangkap tersebut hadir ke pasar pagi tadi adalah untuk memastikan maklumat berkumpul yang diterima mereka melalui khidmat pesanan ringkas SMS betul atau 'perangkap'.
Ia kerana, tiada sebarang arahan pun dari kepimpinan parti untuk berkumpul di sini hari ini.
Sementara itu, Ng Mun Yin pula memaklumkan mereka ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.
Polis juga ujarnya memberi jaminan kesemua yang ditahan akan dibebaskan hari ini.
~ harakah
0 comments:
Post a Comment